Archive for the Mystery Category

Jangan cakap besar!

Posted in Mystery on August 26, 2007 by mysteryofxfiles

SELESAI menunaikan solat Isyak di rumah bapa saudaranya yang terletak di Kampung Kuala Kapas, Safwan (nama samaran) meminta izin untuk balik ke Kuala Lumpur.

“Tidurlah sini. Dah malam ni, kalau apa-apa terjadi tengah-tengah malam, susah nanti,” pujuk bapa saudara Safwan.

“Tak apalah pakcik, kesian kat mak tinggal seorang diri kat KL, ala tak akan terjadi apa-apa kat saya lagipun saya anak jantan,” jawab Safwan.

“Safwan jangan cakap besar tau, tapi berhati-hati lah semasa memandu nanti,” bapa saudara Safwan memberi ingatan.

Safwan memandu keretanya meninggalkan Kampung Kuala Kapas. Dia terpaksa mengikut jalan lama. Setiap kali terpandang papan tanda arah, Safwan akan menghidupkan lampu limpahnya, dibaca sekali imbas sebelum mematikannya semula. Dia cukup berhati-hati supaya tidak tersalah simpang. Di lihatnya jam di dashboard menunjukkan angka 11.

Safwan menekan pedal minyak memecut di atas jalan raya yang lengang. Bagi menghilangkan rasa mengantuk, Hashim memasang radio. Tiba-tiba dia tersentak dengan sebuah van usang yang tiba-tiba berada di hadapannya.

“Bahaya betul lah… gelap-gelap macam ni, satu lampu aja yang hidup,” rungut Safwan yang meradang kerana hanya lampu sebelah kanan di belakang van sahaja yang menyala. Lalu dia memintas van usang tersebut sambil menjeling ke cermin sisinya untuk melihat van tersebut.

“La… lampu depan pun malap jer.. bahaya betul la, kalau tak berhati-hati boleh kemalangan van tu,” ungkap Safwan dalam hati. Sampai di satu simpang tiga, Safwan memberhentikan kenderaan. Dia buntu tidak tahu arah mana harus di tuju, kiri atau kanan. Puas meninjau tiada pula papan tanda yang kelihatan.

Lalu Safwan memberi isyarat ke kiri dan memecut keretanya, hatinya tidak tenteram. Jalan yang dilalui itu seakan terlalu asing baginya. Tiba-tiba Safwan melihat sebuah van di hadapannya. Alangkah terkejutnya Safwan apabila dia mendapati van yang di pintasnya tadi berada di hadapan Hashim.

“Sepanjang perjalanan tadi… hanya ada satu simpang jer… macam mana van ni boleh pintas aku ?” pelbagai persoalan bermain di benak fikiran Safwan.

Safwan tidak sedap hati, dia merasakan dirinya telah ‘dikacau’ oleh entiti halus kerana tiba-tiba terbau kemenyan.

Safwan pun cuba memintas van tersebut untuk kali kedua. Dia sempat menoleh ke arah van tersebut dengan serta merta dia menekan pedal minyak sekuat hati. Apa yang dilihatnya tadi van usang tersebut kosong tiada pemandu ! dan tiba-tiba hilang.

Safwan berasa menyesal kerana meninggi diri semasa di rumah bapa saudaranya, dia merasakan ini mungkin balasannya apabila bercakap besar.

Advertisements

Siapakah anak kecil itu?

Posted in Mystery on August 11, 2007 by mysteryofxfiles

JAM di tangan Zali (bukan nama sebenar) menunjukkan angka 2 namun dirinya masih belum mengantuk. Anehnya suasana malam itu tidak sepertia biasa, zali merasakan susah benar mahu terlelap, Isterinya sedang enak dibuai mimpi.

Zali menoleh ke arah pintu bilik yang sedikit terbuka, tiba-tiba Zali terdengar bunyi tapak kaki seseorang berjalan di ruang tamu. Bunyi tapak kaki siapa? Zali tertanya-tanya sebab biasanya anaknya Nabila, 6, kalau bangun mesti akan terdengar suara menangisnya. dan menjerit memanggil-manggil namanya.

Sejak pindah ke rumah tersebut Nabila kerap menangis setiap malam, tapi malam tersebut  Nabila tidak menangis. Zali merasakan bunyi tapak kaki tersebut adalah Nabila, Zali menunggu kelibat Nabila untuk menyelak daun pintu dan selepas itu memanggil namanya.

Derapan tapak kaki tersebut hampir jelas, Zali tidak mengalih perhatian dari memandang pintu dan seketika kemudian ada bayang-bayang anak kecil kelihatan. Daun pintu diselak dan anak kecil itu barjalan masuk dan berdiri di hujung katil.

Zali tidak nampak wajah ‘anaknya’ itu kerana anak kecil itu sedang menunduk memandang lantai, rambutnya yang mengerbang pula menutupi wajahnya.

“Kenapa Nabila tunduk? bukankah sudah menjadi kebiasaan Nabila akan meluru masuk dan memelukku. Tapi perangai Nabila pelik, senyap-senyap masuk ke dalam bilik dan tunduk ke lantai serta tidak menoleh kearahku,” Zali terfikir sejenak tentang kejadian pelik dihadapannya itu.

Rambut yang menutupi wajah Nabila juga sedikit berlainan dan menakutkan. panjang sehingga mencecah lantai. Rambut Nabila tidak sebegitu, hanya paras bahu dan lurus, tidak mengerbang seperti yang dilihat Zali itu.

Dada Zali berdebar melihat Nabila sebegitu, dia cuba memanggil nama anaknya itu tetapi Zali merasakan suaranya tersekat dikerongkong malah seluruh anggota badannya tidak boleh bergerak bagaikan diikat.

Lalu lembaga tersebut mendongakkan kepalanya. Wajahnya masih tidak dapat dilihat dengan jelas, rambutnya yang kusut masai itu menganggu pandangan Zali. lebih kurang setengah jam lembaga tersebut merenung Zali, selepas itu lembaga tersebut lenyap dan pintu bilik tertutup sendiri.

Zali bingkas bangun dan bergegas ke bilik Nabila, dia melihat anaknya itu sedang nyenyak tidur. tidak mungkin apa yang dilihatnya tadi Nabila kerana tidak masuk akal jika dia meninggalkan bilik Zali dan dengan sepantas itu dia kembali semula ke biliknya dan terus terlelap. Pelik, siapakah anak kecil yang masuk ke dalam bilik tidur Zali, Nabila atau….

Misteri Kebun Pisang

Posted in Mystery on June 25, 2007 by mysteryofxfiles

MEMANDANGKAN Zack (bukan nama sebenar) pulang lewat dari sekolah kerana menyertai aktiviti ko-kurikulum, Zack mengambil keputusan untuk mengambil jalan pintas melalui ladang getah dan kemudian melintas ke kebun pisang Wak Seman (bukan nama sebenar) bagi membolehkan dia cepat sampai ke rumah.
Azan maghrib sedang berkumandang ketika Zack melintas ladang getah. Sedang asyik Zack berjalan, tiba-tiba dia terdengar suara perempuan memanggilnya dengan nada yang agak sayup. “Zack….” Langkah Zack terhenti seketika. Zack cuba mencari punca datangnya suara tersebut namun… Ah! Khayalan saja. Zack meneruskan perjalanan.
Sebaik Zack melangkah masuk ke kebun pisang Wak Seman, Zack terdengar kembali suara yang memanggil namanya kali ini lebih jelas “Zack….” meremang bulu roma Zack, tanpa berlengah masa lagi Zack membuka langkah seribu.
Oleh kerana keadaan sekitar gelap dia terjatuh akibat tersadung batu. Zack cuba bangun tetapi buku lalinya terlalu sakit.
Zack menyandarkan diri di sebatang pokok pisang sambil mengurut-urut kaki. Tiba-tiba Zack terhidu bau harum, bau bunga tanjung. Alangkah terkejutnya Zack bila mendapati ada seorang perempuan di belakangnya.
“Siapa kau?” tanya Zack dalam keadaan ketakutan.
“Aku penghuni kawasan ini… kau sudah ceroboh rumah ku,” perempuan tersebut marah sambil wajahnya berubah wajah bengis. Wajahnya yang tadi cantik kini bertukar ngeri. Zack mendapati kulit perempuan itu mengelupas seperti daun pisang. Perempuan di depan Zack kini menjadi makhluk yang hodoh, sambil menggilai makhluk tersebut cuba menerkam Zack.

“Perempuan mencangkung di atas pokok”

Posted in Mystery on June 14, 2007 by mysteryofxfiles

ENTAH apa musibah yang menimpa kampung Hilir. Apabila matahari mula terbenam, kebanyakan penduduk kampung tidak lagi berani keluar malam. masing-masing mengurung diri di dalam rumah. Suasana setiap malam di kampung Hilir sunyi seperti tiada penghuni. Semuanya gara-gara pontianak!.

Mendengar cerita pontianak berkeliaran setiap malam sudah meremang bulu roma, apatah lagi kalau berhadapan dengan lembaga itu.Ramai penduduk kampung yang mendakwa terserempak dengan pontianak. namun lembaga tersebut tidak mengganggu sesiapa.

Ada yang mengaitkan kemunculan pontianak tersebut dengan wanita mengandung yang telah mati dibunuh dengan kejam sebelum ini.

Ketika jam menunjukkan angka dua belas malam, Haji Karim yang merupakan ketua kampung Hilir dikejutkan dengan sesuatu yang mengetuk pintu rumahnya dengan kuat. Apabila Haji Karim membuka daun pintu, dia mendapati Sahak, peniaga warung makanan di kampung itu kelihatan cemas.

“Apa halnya ini Sahak, cemas sahaja,” tanya Haji Karim.

“Tadi, masa saya tengah berkemas nak tutup warung. saya dan pembantu saya terdengar bunyi perempuan menggilai, kemudian saya nampak macam ada sesuatu melintas depan saya dan kemudian hinggap dekat pokok sebelah warung saya

“Apabila diperhati dengan teliti saya nampak seorang perempuan mencangkung di atas dahan pokok tersebut, selepas itu ia terbang sambil menggilai dan hilang macam tu saja” jelas Sahak.

“Kau nampak ke muka pontianak tu?” Haji Karim menyoal Sahak.

“Taklah berapa jelas sangat kerana keadaan sekitar gelap, dari samar-samar cahaya bulan saya dapat lihat pakaiannya serba putih, rambutnya panjang menggerbang, berdiri bulu roma saya ni bila dengar dia menggilai,” ujar Sahak.

Haji Karim mengeluh panjang, jika benarlah apa yang Sahak ceritakan, bermakna tanggungjawabnya bertambah berat. Berdepan dengan masalah roh bukanlah pekerjaan yang mudah. Hanya orang yang tertentu dan berkebolehan serta dengan keizinan Allah s.w.t mampu menyelesaikan masalah ini.

Surah Yasin

Haji Karim mengarahkan Sahak mengumpulkan penduduk kampung dan seterusnya perbincangan diadakan. Setelah sepakat, mereka bersetuju untuk mengadakan bacaan Yasin secara bergilir-gilir di masjid sehingga malam yang ke tujuh. Keadaan cuaca di sebuah kubur yang terletak di hujung kampung tiba-tiba berubah.

Rintik-rintik hujan mula membasahi bumi berserta dengan pancaran kilat dan dentuman petir. Tiba-tiba satu dentuman petir yang amat kuat diikuti pancaran kilat yang menyambar tepat susuk jelmaan perempuan di atas dahan pokok bunga tanjung.

Kemudian bayangan tersebut ghaib diikuti dengan jeritan yang amat kuat yang mengejutkan seluruh penduduk kampung. Sejak kejadian itu tiada lagi kisah kemunculan pontianak di kampung tersebut.

‘Jangan tegur benda pelik’- NOORMAISARAH AHMAD

Posted in Mystery on June 1, 2007 by mysteryofxfiles

KISAH pada bulan Ramadan lima tahun lalu masih segar dalam benak fikiran Sarah (bukan nama sebenar). Ketika itu Sarah masih belajar di sebuah sekolah di selatan tanah air.

Pada malam Jumaat minggu pertama berpuasa, Sarah dan kakaknya Nora (bukan nama sebenar) pergi ke rumah makciknya untuk menghantar juadah berbuka puasa. Kebetulan pada masa tu ayah mereka solat tarawih di surau berhampiran.

Disebabkan tak ada pengangkutan, Sarah dan kakaknya terpaksa berjalan kaki ke rumah makciknya di hujung kampung. Walaupun tidak begitu jauh, keadaan sekeliling yang gelap dan menyeramkan membuatkan Nora berasa tidak sedap hati.

“Sarah rasa dalam bulan puasa ni ada hantu tak ?” soal Nora. “Tak ada la, maklumlah bulan puasa mana ada hantu, manusia perangai macam hantu ada la,” Sarah bergurau bagi menyedapkan hati akaknya.

Setengah jam kemudian Sarah dan Nora sampai di rumah makciknya. Sarah mengajak akaknya untuk menyakat keluarga makciknya itu. “Assalamualaikum…..” dengan suara garau Sarah memberi salam.

Kenakalan Sarah tidak berhenti di situ, dia mengetuk sekeliling dinding rumah yang diperbuat daripada kayu itu lalu Sarah bersembunyi di sebalik semak dengan akaknya.

Setelah pintu terkuak, Sarah dan Nora menyangka makcik saudaranya membuka pintu lalu Sarah dan Nora menyergah.

Terkejut nenek saudara Sarah dengan kenakalan cucu-cucu saudaranya itu. Mak ngah bergegas ke muka pintu apabila terdengar leteran nenek saudara. “Maafkan kami nek, kami sangka mak ngah tadi,” kata Sarah.

“Mak minta kami hantar makanan ini kepada Mak Ngah,” tambah Nora sambil memberi bakul yang berisi makanan kepada Mak Ngahnya.

“Hari dah lewat malam ni, kami mintak izin pulang dulu la,” kata Sarah.

Nenek saudara Sarah sempat berpesan supaya berhati-hati semasa berjalan pulang dan yang penting jangan tegur ‘benda’ yang pelik.

Tidak sedap hati

Sewaktu berjalan pulang Sarah dan Nora berasa tidak sedap hati, mereka merasakan sudah jauh berjalan kaki.

Tiba di suatu kawasan. Sarah dan Nora ternampak satu lembaga memakai pakaian serba putih di persimpangan jalan. Jarak lembaga tersebut dengan mereka tidak jauh. Pada masa itu Nora teringat pesanan nenek saudaranya. Tetapi Sarah tetap berdegil, dia hendak pastikan apa yang berada di depan mereka itu.

Dalam samar-samar Sarah mendapati lembaga tersebut terapung-apung di atas ranting pokok. Walaupun merasakan kaki seakan melekat di tanah, Sarah dan Nora gagahkan juga berjalan.

Ketika hampir dengan lembaga tersebut, Sarah dan Nora terhidu bau kemenyan. Tanpa menoleh ke arah lembaga tersebut, Sarah dan Nora membuka langkah seribu meninggalkan kawasan itu.

Ketika sampai di rumah, Sarah menceritakan apa yang telah berlaku kepada ibu dan bapanya. Ayah mereka memberitahu tempat itu memang berpenunggu sudah ramai penduduk kampung telah disakat oleh lembaga putih itu.

Di ganggu penunggu lubuk pancing

Posted in Mystery on May 13, 2007 by mysteryofxfiles

 

TIGA sahabat, Kamal. Rizal, Fuad (bukan nama sebenar) sibuk membincangkan aktiviti memancing pada hujung minggu nanti.. 

Ketiga-tiga sahabat kaki pancing ini memilih untuk memancing ditepi sungai kawasan pendalaman dan bercadang bermalam disana sekali.  Kawasan yang dipilih mestilah jauh dari bunyi  bising dan tiada gangguan.

 Sepanjang perjalanan itu ketiga-tiga sahabat ini menyanyi di dalam kereta untuk menghilangkan kebosanan. Entah mengapa tiba-tiba sahaja Fuad terdiam serta-merta dia  berpeluh apabila kereta yang mereka naiki melalui kawasan perkuburan yang agak lama di lereng bukit. 

Jantungnya berdegup kencang.  Tidak tenteram rasa dihatinya.  Namun dibukukan rasa hatinya daripada pengetahuan sahabat sahabatnya.  Bimbang nanti diketawakan dua rakan yang lain.

Sesampai sahaja mereka ditempat yang dituju, masing masing sibuk mengeluarkan peralatan khemah, bahan makanan dan jugak peralatan memancing. 

Setelah selesai memasang khemah dan mengumpul ranting kayu untuk dibuat unggun api, masing masing melepaskan  lelah dan berbual kosong sambil menikmati angin petang.

“Kamal, Rizal, aku rasa tak sedap hatilah.  Jom kita balik.  Lagipun, tempat ni, menyeramkanlah,” ujar Fuad.

“Belum ada apa apa lagi kau dah takut, bukan anak jantan lah kau ni,” kata Kamal sambil mentertawakan Fuad.

Mendengar pangakuan sahabatnya itu, Fuad berasa sedikit tenang walaupun hatinya berasa berat seperti sesuatu yang buruk bakal belaku

Jam di tangan menunjukkan angka 12, Ketiga tiga sahabat ini asyik memancing sehingga tidak sedar hari sudah jauh malam. 

Sedang asyik memancing, satu lembaga putih melintas laju dihadapan Fuad yang membuatkan dirinya terkejut. Ditoleh kiri dan kanan melihat Kamal dan Rizal yang tidak jauh darinya, masing-masing sedang leka memancing.

“Perasaan aku je kot, kalau betul ‘benda’ tu lintas tadi, takkan diaorang tak nampak kot.  Bukan jauh sangat tenpat aku dengan dia orang,” getus Fuad menyedapkan hati sendiri.

Sekali lagi Fuad dikejutkan dengan lintasan lembaga putih didepannya.  Kali ini, Fuad dapat lihat dengan jelas muka lembaga tersebut. Bagaikan hendak gugur jantungnya melihat wajah lembaga yang mengilai dihadapannya.  Matanya merah dengan gigi taring berlumuran darah jelas merenung Fuad.

Ditoleh ke kiri, didapati Kamal sudah tiada.  Ditoleh ke kanan, Rizal juga sudah tiada.  Tanpa membuang masa, Fuad menarik tali pancingnya dan membuka langkah seribu pulang ke khemah mereka. Sampai sahaja ditapak khemah, didapati Kamal dan Rizal sudah pun menunggunya.  Tanpa membuang masa, terus sahaja mereka pulang.

“Kau orang nampak apa yang aku nampak?” Fuad menyoal dua rakannya
“Nampak, tapi bila dua kali lalu depan aku dan Rizal pun lari,” kata Rizal 

“Itulah lain kali, jangan cakap besar, tengok apa dah jadi. Nasib baik la tak ada apa-apa terjadi,” ujar Fuad.

Kereta Jadi Busuk Akibat Ingkari Pesanan

Posted in Mystery on April 6, 2007 by mysteryofxfiles

 

 

Satu kisah misteri yang heboh di perkatakan suatu ketika dahulu tentang sebuah kereta yang berbau sangat busuk, bermacam-macam jenis syampu dipakai tetapi bau busuk di dalam kereta tersebut tetap tidak mahu hilang juga.

Kisah misteri ini bermula setelah Aizat mendirikan rumah tangga, Aizat membuat keputusan membeli sebuah kereta dengan tujuan bagi memudahkannya pada masa hadapan.

Pada suatu hari Aizat pulang agak lewat malam kerana terpaksa menyiapkan kerja-kerja yang belum selesai di pejabat, dalam perjalanan pulang Aizat selalu melalui satu tanah perkuburan, boleh dikatakan setiap hari Aizat terpaksa melalui jalan tersebut. Tetapi baginya ia sudah biasa melalui jalan tersebut, ketika Aiza melepasi kawasan perkuburan itu, Aizat terlihat ada seorang wanita yang sedang menahan kereta Aizat.

Aizat sempat menjeling jam di dashboard yang menunjukkan angka 10.00, pada mulanya tidak mahu berhenti, tetapi Aizat berasa simpati dengan wanita tersebut yang sarat mengandung.

“ Nak pergi mana ni cik adik?” Tanya Aizat setelah memberhentikan keretanya di hadapan wanita tersebut.

“Saya mahu pulang, boleh abang tumpangkan saya?” ringkas wanita misteri tu bertanya pada Aizat. “Boleh juga, rumah cik adik ni kat mana?” Aizat bertanya. “Tak jauh pun, dekat kawasan perumahan yang dekat dengan gerai dekat di hadapan tu,” Jawab wanita misteri tersebut.

“Berdekatan gerai nasi lemak tu, naiklah kebetulan saya memang lalu tempat tu,’ Aizat mempelawa wanita misteri tersebut. Wanita tadi pun naiklah kereta Aizat.

Sewaktu di dalam kereta, Aizat terhidu bau yang amat wangi, terpikir juga Aizat minyak wangi apa wanita misteri itu pakai.

Di dalam kereta, Aizat tidak banyak bercakap dengan wanita misteri itu, setelah satu kilometer pemanduan, tiba-tiba wanita misteri tersebut menyuruh Aizat berhenti. 

“Berhenti bang,” sahut wanita misteri tersebut dengan nada yang agak kuat. “La… Kan ke belum sampai lagi”, Aizat berasa hairan. “Tu.. rumah saya,” kata wanita misteri tersebut sambil menuding jari.

“ Takpalah saya turun di sini, terima kasih kerana tumpangkan saya, terima la pemberian tak seberapa ni dan simpannya elok-elok di dalam kereta ini jangan buang,” kata wanita misteri sambil menyerahkan sepotong kain putih pada Aizat.

Aizat tanpa banyak tanya menerima kain tu. Setelah keluar dari kereta Aizat wanita misteri seperti ghaib, dengan agak kehairanan dengan apa yang terjadi. Aizat bergegas meninggalkan tempat tersebut.

 

 Pesan di ingkari

 

Pada hari minggu Aizat banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Seperti biasa aktiviti Aizat dan isterinya pada hujung minggu adalah membasuh kereta biasa lah kereta baru. Sedang leka isterinya membersihkan dalam kereta tiba-tiba ” kain apa ni bang? Wangi je kain ni, abang keluar dengan perempuan mana ni?” soal isterinya,

Aizat teringat pesan wanita misteri tu, “Tak delah Iera, semalam masa abang balik ada seorang wanita hamil nak tumpang, lepas tu dia bagilah kain tu tanda terima kasih,jangan di buang kain tu,” Aizat cuba menenangkan keadaan isterinya.

“Abang jangan memain dengan saya bang” dengan keadaan yang agak marah Iera  membuang kain tu kedalam tong sampah. Aizat membiarkan apa yang dilakukan oleh isterinya tu.

Pada keesokannya, sewaktu Aizat  bersiap-siap nak pergi kerja dan ketika Aizat membuka pintu kereta. Aizat terhidu bau yang sangat busuk, bau tu datang dari dalam keretanya.“Iera!!!!,” Aizat memanggil isterinya 

“Ish macam mana boleh busuk macam ni?” serba tak kena Aizat dibuatnya dan sudah bermacam cara untuk menghilangkan bau busuk tersebut lalu Aizat membuat keputusan menjual kereta tersebut di salah sebuah kedai menjual kereta dengan harga yang amat murah. Lama jugak kereta Aizat berada di kedai tersebut, tak de seorang pun yang mahu membeli sehingga lah ada seorang lelaki yang berminat dengan kereta tersebut, ramai yang mengatakan lelaki tersebut mempunyai ilmu yang tinggi tentang perihal alam ghaib, adakah lelaki tersebut berjaya menghilangkan bau busuk tersebut tetap menjadi misteri.