Naga

Posted in X-Files on June 20, 2007 by mysteryofxfiles

HAMPIR setiap budaya di seluruh dunia menceritakan kisah naga yang merupakan haiwan legenda yang dianggap mistik. Setiap kisah itu mempunyai persamaan iaitu naga mempunyai kepala yang menyerupai ular atau buaya serta boleh mengeluarkan api dari mulut.

Dikatakan terdapat 30 jenis naga yang berbeza bentuk fizikalnya mengikut setiap kisah yang sering diceritakan di seluruh dunia.

Masyarakat timur mengatakan naga memiliki badan berbentuk ular, muka mirip kuda serta mempunyai tanduk seperti rusa. Masyarakat barat pula menggambarkan naga menyerupai dinosaur yang bernama Tyranosaurus, mempunyai kepak untuk terbang dan membiak dengan cara bertelur.

Ada beberapa pendapat dari ahli crpytozoology (pakar ilmu biologi yang mengkaji kewujudan haiwan-haiwan mistik, mitos atau legenda) mengatakan naga pra-sejarah telah wujud melalui proses evolusi.

Ia mempunyai struktur tulang kepak yang ringan dan membolehkan ia mengawalnya ketika terbang. Kepak naga yang mencecah selebar 20 kaki itu masih tidak mencukupi untuk naga mengapungkan diri.

Oleh sebab itu, naga akan menggunakan ruang khas dalam badannya yang berisi dengan gas hidrogen dan metana yang ringan dari udara bagi membantu mengapungkan diri.

Selain itu, gas hidrogen dan metana ini juga digunakan sebagai senjata dengan memanipulasikannya sebagai api lalu menghembuskan nafas berapi melalui mulutnya.

Advertisements

“Perempuan mencangkung di atas pokok”

Posted in Mystery on June 14, 2007 by mysteryofxfiles

ENTAH apa musibah yang menimpa kampung Hilir. Apabila matahari mula terbenam, kebanyakan penduduk kampung tidak lagi berani keluar malam. masing-masing mengurung diri di dalam rumah. Suasana setiap malam di kampung Hilir sunyi seperti tiada penghuni. Semuanya gara-gara pontianak!.

Mendengar cerita pontianak berkeliaran setiap malam sudah meremang bulu roma, apatah lagi kalau berhadapan dengan lembaga itu.Ramai penduduk kampung yang mendakwa terserempak dengan pontianak. namun lembaga tersebut tidak mengganggu sesiapa.

Ada yang mengaitkan kemunculan pontianak tersebut dengan wanita mengandung yang telah mati dibunuh dengan kejam sebelum ini.

Ketika jam menunjukkan angka dua belas malam, Haji Karim yang merupakan ketua kampung Hilir dikejutkan dengan sesuatu yang mengetuk pintu rumahnya dengan kuat. Apabila Haji Karim membuka daun pintu, dia mendapati Sahak, peniaga warung makanan di kampung itu kelihatan cemas.

“Apa halnya ini Sahak, cemas sahaja,” tanya Haji Karim.

“Tadi, masa saya tengah berkemas nak tutup warung. saya dan pembantu saya terdengar bunyi perempuan menggilai, kemudian saya nampak macam ada sesuatu melintas depan saya dan kemudian hinggap dekat pokok sebelah warung saya

“Apabila diperhati dengan teliti saya nampak seorang perempuan mencangkung di atas dahan pokok tersebut, selepas itu ia terbang sambil menggilai dan hilang macam tu saja” jelas Sahak.

“Kau nampak ke muka pontianak tu?” Haji Karim menyoal Sahak.

“Taklah berapa jelas sangat kerana keadaan sekitar gelap, dari samar-samar cahaya bulan saya dapat lihat pakaiannya serba putih, rambutnya panjang menggerbang, berdiri bulu roma saya ni bila dengar dia menggilai,” ujar Sahak.

Haji Karim mengeluh panjang, jika benarlah apa yang Sahak ceritakan, bermakna tanggungjawabnya bertambah berat. Berdepan dengan masalah roh bukanlah pekerjaan yang mudah. Hanya orang yang tertentu dan berkebolehan serta dengan keizinan Allah s.w.t mampu menyelesaikan masalah ini.

Surah Yasin

Haji Karim mengarahkan Sahak mengumpulkan penduduk kampung dan seterusnya perbincangan diadakan. Setelah sepakat, mereka bersetuju untuk mengadakan bacaan Yasin secara bergilir-gilir di masjid sehingga malam yang ke tujuh. Keadaan cuaca di sebuah kubur yang terletak di hujung kampung tiba-tiba berubah.

Rintik-rintik hujan mula membasahi bumi berserta dengan pancaran kilat dan dentuman petir. Tiba-tiba satu dentuman petir yang amat kuat diikuti pancaran kilat yang menyambar tepat susuk jelmaan perempuan di atas dahan pokok bunga tanjung.

Kemudian bayangan tersebut ghaib diikuti dengan jeritan yang amat kuat yang mengejutkan seluruh penduduk kampung. Sejak kejadian itu tiada lagi kisah kemunculan pontianak di kampung tersebut.

Sotong Gergasi

Posted in X-Files on June 11, 2007 by mysteryofxfiles

MENURUT mitologi Norse kurun ke-12, terdapat sejenis makhluk gergasi yang dikenali sebagai Kraken (Crab-fish atau Krake) yang habitatnya di dasar laut. Ia mempunyai 8 tentakel dan saiznya dikatakan sebesar sebuah pulau (floating island) yang terapung di atas laut seperti yang digambarkan oleh Erik Ludvigsen dari Norway.

Pada tahun 1802, malacologist Perancis, Pierre Denys de Monfort telah membuat kajian dan telah mengenal pasti kewujudan sotong kurita gergasi di dalam Histoire Naturelle Générale et Particulière des Mollusques, sebuah karya mengenai mollusks (golongan binatang yang mempunyai badan lembut dan tidak bertulang belakang).

Kraken mempunyai kekuatan luar biasa dan mampu menenggelamkan kapal-kapal besar. Kajian Monfort turut mengisahkan serangan Kraken terhadap sebuah kapal layar dari Saint- Malo di luar perairan Angola.

Di dalam kajian tersebut, Monfort mengatakan terdapat beberapa orang kelasi kapal dan pemburu ikan paus pernah melihat Kraken.

Monfort telah membuat satu kenyataan sensasi di mana sepuluh buah kapal perang British telah hilang secara misteri dalam satu malam pada tahun 1782. Menurutnya kapal-kapal tersebut telah tenggelam akibat diserang oleh sotong gergasi yang sangat besar yang dipercayai makhluk Kraken.

Namun pihak British telah menyangkal pendapat Monfort dengan memberitahu kehilangan kapal-kapal tersebut bukan disebabkan serangan Kraken.

Sungguhpun begitu, Monfort masih percaya kewujudan Kraken dan telah membuat catatan dari beberapa sumber yang mempercayai kewujudan Kraken sebagai sotong gergasi.

Selain itu kajian Monfort, terdapat juga beberapa kisah serangan Kraken di antaranya semasa Perang Dunia ke-2, sebuah kapal perang telah ditenggelamkan oleh Kraken dan salah seorang askarnya telah menjadi santapan makhluk tersebut.

Pada tahun 1930-an pula sebuah lagi kapal, Brunswick kepunyaan Royal Norwegian Navy juga diserang sebanyak tiga kali tetapi mereka dapat melarikan diri dari makhluk tersebut.

Ada kajian yang mengatakan Kraken boleh membunuh ikan paus kerana terdapat sesetengah bangkai ikan paus yang terdampar di tepi pantai mempunyai kesan-kesan jerutan tentakel pada badannya.

Ada pendapat yang mengaitkan sotong kurita gergasi pada masa kini adalah keturunan Kraken kerana bentuk badannya hampir sama dengan Kraken. Kini tiada lagi laporan mengenai Kraken sama ada ia masih wujud atau sudah pupus.

Tengkorak Kristal

Posted in X-Files on June 5, 2007 by mysteryofxfiles

TERDAPAT beberapa replika tengkorak kristal yang merupakan salah satu objek berkuasa luar biasa dan mempunyai nilai estetik yang tinggi. Tengkorak kristal dipercayai merupakan replika tengkorak manusia tertua yang wujud. Kebanyakannya diukir dan dipahat daripada ketulan kristal dalam batu kuarza kerana mempercayai batu ini dapat menangani masalah fizikal dan mental manusia.

Tengkorak kristal yang dianggap legenda dan terkenal adalah tengkorak kristal Mitchell-Hedges. Dinamakan sempena seorang arkeologi British F. Albert Mitchell-Hedges dan berasal dari Amerika Tengah. Ia ditemui di Lubaantum, sebuah kota Mayan purba yang terletak di Belize (British Honduras) pada tahun 1924.

Perkara yang menakjubkan tentang artifak tengkorak kristal ini adalah seni pertukangannya yang begitu teliti dan menyerupai tengkorak yang sebenar, lengkap dengan tulang rahang yang boleh dikeluarkan.

Anak perempuan Albert, Anna Mitchell-Hedges mendakwa, apabila dia tidur berhampiran tengkorak kristal, dia bermimpi tentang tamadun-tamadun India purba dan boleh menggambarkan kehidupan mereka secara terperinci.

Tiada kesan calar

Pada 1964 sebuah syarikat komputer yang terbesar, Hewlett-Packard telah menjalankan satu uji kaji ke atas tengkorak kristal tersebut. Syarikat tersebut membuktikan bahawa tengkorak kristal yang mempunyai berat 11 pound itu tidak mempunyai kesan calar walaupun dilihat melalui mikroskop.

Ini membuktikan tiada penggunaan bahan logam dalam mencipta tengkorak kristal manakala bahan kristal yang digunakan adalah lebih halus daripada berlian.

Kajian tersebut juga mengatakan usia tengkorak kristal tidak dapat dijangka. Jenis kristal kuarza yang terdapat pada tengkorak kristal itu juga mampu menjana elektrik dan menyerupai bateri kerana terdapat kutub positif dan kutub negatif.

Teknik ukiran yang terdapat pada tengkorak kristal tersebut menentang axis batu kristal yang kebiasaannya tidak dilakukan kerana ia akan memecahkan batu kristal.

Terdapat beberapa lagi tengorak kristal yang sama dengan tengkorak Mitchell-Hedges iaitu tengkorak kristal Rose Quartz, tengkorak Aztec, tengkorak kristal Texas, tengkorak kristal Mayan dan tengkorak Amethyst.

Pada akhir kurun ke-19 fenomena tengkorak kristal mula menjadi tumpuan orang ramai. British Museum di Britain adalah antara muzium pertama mempamerkan tengkorak kristal yang paling menyamai saiz tengkorak manusia sebenar.

‘Jangan tegur benda pelik’- NOORMAISARAH AHMAD

Posted in Mystery on June 1, 2007 by mysteryofxfiles

KISAH pada bulan Ramadan lima tahun lalu masih segar dalam benak fikiran Sarah (bukan nama sebenar). Ketika itu Sarah masih belajar di sebuah sekolah di selatan tanah air.

Pada malam Jumaat minggu pertama berpuasa, Sarah dan kakaknya Nora (bukan nama sebenar) pergi ke rumah makciknya untuk menghantar juadah berbuka puasa. Kebetulan pada masa tu ayah mereka solat tarawih di surau berhampiran.

Disebabkan tak ada pengangkutan, Sarah dan kakaknya terpaksa berjalan kaki ke rumah makciknya di hujung kampung. Walaupun tidak begitu jauh, keadaan sekeliling yang gelap dan menyeramkan membuatkan Nora berasa tidak sedap hati.

“Sarah rasa dalam bulan puasa ni ada hantu tak ?” soal Nora. “Tak ada la, maklumlah bulan puasa mana ada hantu, manusia perangai macam hantu ada la,” Sarah bergurau bagi menyedapkan hati akaknya.

Setengah jam kemudian Sarah dan Nora sampai di rumah makciknya. Sarah mengajak akaknya untuk menyakat keluarga makciknya itu. “Assalamualaikum…..” dengan suara garau Sarah memberi salam.

Kenakalan Sarah tidak berhenti di situ, dia mengetuk sekeliling dinding rumah yang diperbuat daripada kayu itu lalu Sarah bersembunyi di sebalik semak dengan akaknya.

Setelah pintu terkuak, Sarah dan Nora menyangka makcik saudaranya membuka pintu lalu Sarah dan Nora menyergah.

Terkejut nenek saudara Sarah dengan kenakalan cucu-cucu saudaranya itu. Mak ngah bergegas ke muka pintu apabila terdengar leteran nenek saudara. “Maafkan kami nek, kami sangka mak ngah tadi,” kata Sarah.

“Mak minta kami hantar makanan ini kepada Mak Ngah,” tambah Nora sambil memberi bakul yang berisi makanan kepada Mak Ngahnya.

“Hari dah lewat malam ni, kami mintak izin pulang dulu la,” kata Sarah.

Nenek saudara Sarah sempat berpesan supaya berhati-hati semasa berjalan pulang dan yang penting jangan tegur ‘benda’ yang pelik.

Tidak sedap hati

Sewaktu berjalan pulang Sarah dan Nora berasa tidak sedap hati, mereka merasakan sudah jauh berjalan kaki.

Tiba di suatu kawasan. Sarah dan Nora ternampak satu lembaga memakai pakaian serba putih di persimpangan jalan. Jarak lembaga tersebut dengan mereka tidak jauh. Pada masa itu Nora teringat pesanan nenek saudaranya. Tetapi Sarah tetap berdegil, dia hendak pastikan apa yang berada di depan mereka itu.

Dalam samar-samar Sarah mendapati lembaga tersebut terapung-apung di atas ranting pokok. Walaupun merasakan kaki seakan melekat di tanah, Sarah dan Nora gagahkan juga berjalan.

Ketika hampir dengan lembaga tersebut, Sarah dan Nora terhidu bau kemenyan. Tanpa menoleh ke arah lembaga tersebut, Sarah dan Nora membuka langkah seribu meninggalkan kawasan itu.

Ketika sampai di rumah, Sarah menceritakan apa yang telah berlaku kepada ibu dan bapanya. Ayah mereka memberitahu tempat itu memang berpenunggu sudah ramai penduduk kampung telah disakat oleh lembaga putih itu.

Mothman

Posted in X-Files on May 29, 2007 by mysteryofxfiles

 

MAKHLUK yang digelar Mothman memang digeruni kerana ada yang mengatakan jika terlihat Mothman, seseorang itu akan dilanda penyakit mental dan fizikal yang serius lalu membunuh diri.

Mothman dikatakan menyerupai sebuah artifak kaum Indians Pennacook yang digelar Thunderbird. Perbezaan yang ketara antara Mothman dan Thunderbird adalah Thunderbird mempunyai kepala manakala Mothman dikatakan tidak mempunyai kepala dan persamaannya pula adalah kedua-dua mata merah menyala terletak di bahagian dada.

Ahli para norma mengatakan Mothman tergolong dalam makhluk aneh lain seperti El Chupacabra dan The Jersey Devil.

Terdapat beberapa teori yang mengatakan asal-usul Mothman antaranya Mothman adalah sejenis mutant yang terjadi akibat radiasi kimia atau bahan toksik hasil kajian pihak tentera dan juga persendirian.

Ada pula yang mengatakan bahawa pekan Point Pleasant, Virgina Barat, Amerika Syarikat mempunyai sebuah pintu misteri di mana dua dimensi iaitu alam ghaib dan alam nyata bertemu.

Ada pihak mengatakan kehadiran Mothman adalah akibat sumpahan 200 tahun Chief Cornstalk ke atas pekan Point Pleasant. Pada tahun 10 Oktober 1774, satu perbalahan besar telah berlaku antara askar Virgina (diketuai Andrew Lewis) dan 7 puak bangsa Red Indians termasuklah puak Shawnee (diketuai Keightugh-gua @ Cornstalk) di pertemuan Kanawha dan sungai Ohio (yang kemudiannya dikenali sebagai pekan Point Pleasant).

Puak tersebut telah ditipu oleh Lord Dunmore, gabenor Virgina supaya berdamai namun perang tetap meletus juga, ramai pihak konfederasi serta puak Shawnee terkorban termasuklah Chief Cornstlak.

Saksi

Beberapa saksi telah ternampak makhluk yang digelar Mothman sekitar tahun 1966 hingga 1967. Pada 15 November 1966, dua pasang suami isteri yang sedang memandu dikatakan telah melihat Mothman berdekatan sebuah bangunan di Point Pleasant, kemudian makhluk tersebut terbang di udara lalu hilang di sebalik kegelapan malam.

Ramai saksi mengatakan ketinggian Mothman lebih kurang 7 kaki dan memiliki sayap yang selebar 10 kaki dan boleh terbang dengan kelajuan 100 batu sejam. Selain itu mereka mengatakan Mothman mempunyai kulit yang kasar dan berwarna kelabu coklat. Matanya pula merah menyala dan hipnotik yang mampu mengawal minda sesetengah individu. Mothman boleh mengeluarkan bunyi nyaring dan menyebabkan gangguan pada alatan elektronik seperti televisyen dan radio.

Mungkinkah Mothman itu hanya sekadar sejenis burung yang mungkin telah pupus dan ramai pihak telah tersalah sangka bahawa ia sebagai makhluk yang mengerikan. Namun kewujudan Mothman masih menjadi misteri yang belum terungkai sehingga kini.

Zombie

Posted in X-Files on May 27, 2007 by mysteryofxfiles

 

 

 

PADA dasarnya Zombie adalah apabila jasad sesuatu makhluk yang telah mati tiba-tiba ‘hidup’ kembali dan bergerak tanpa mempunyai roh atau sebagainya. Jasad yang ‘hidup’ kembali ini selalunya dikaitkan dengan fenomena paranormal ataupun saintifik, bergantung kepada yang mana satu untuk dipercayai.

            Terdapat beberapa kemungkinan tentang asal-usul perkataan zombie itu. Zombie atau ‘jumbie’ dalam bahasa India Barat bermaksud hantu. Selain itu ia juga mungkin dipetik daripada perkataan ‘Nzambi’ daripada bahasa Congo yang bermaksud ‘roh orang yang telah mati’.

            Kisah Zombie pada asalnya dating daripada kepercayaan kominiti Afro-Caribbean terhadap Voodoo Zombie di mana manusia telah dikawal rohnya dengan kuasa sihir. Mereka ini tidak dapat mengawal diri sendiri dan menjadi hamba kepada orang yang menguasai roh mereka.

            Satu tempat yang dikatakan amat popular dengan zombie ini adalah di kepulauan Haiti. Zombie ini juga dijadikan hamba untuk bekerja di lading dan akan mengikut arahan jika diberi makan garam.

            Pada tahun 1980, terdapat satu kisah seorang lelaki muncul di salah satu kawasan kampong di Haiti yang mengaku sebagai Clairvius Narcisse yang dilaporkan telah meninggal dunia pada 2 Mei 1962.

            Dia mendakwa seorang ahli sihir Voodoo telah ‘membangunkan’ sebagai zombie. Narcisse mampu menjawab pelbagai soalan mengenai keluarganya sebagai bukti dia bukannya penipu.

            Narcisse juga menjadi subjek kajian, Wade Davis, seorang ethnobotanist Kanada. Davis membuat kesimpulan bahawa manusia boleh bertukar menjadi zombie dengan dua serbuk istimewa yang masuk ke dalam saluran badan (selalunya melalui luka luaran).

            Campuran ini menurutnya digunakan oleh ramai pengamal ilmu voodoo. Pertama adalah bahan penting seperti tetrodoxin iaitu toksin yang sama dalam hidangan ikan Fugu. Tetrodoxin menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan untuk beberapa hari dan kadangkala boleh dianggap sebagai ‘mati’.

            Bahan kedua adalah sejenis stimuli halusinasi yang selalunya terdapat dalam tumbuhan seperti datura yang membolehkan seseorang itu bertukar menjadi zombie.

            Namun banyak pihak menyangkal teori beliau meragukan kerana tidak banyak bukti dikemukan dalam kajian Davis terhadap Narcisse. Saintis juga mempersoalkan terdapat bahan lain yang dicampur sekali dengan uji kaji Davis.

            Sejak tahun 1835 terdapat undang-undang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan Haiti yang menghalang penciptaan zombie ini, namun ia tidak dijelaskan secara terperinci.

Walaubagaimana pun, misteri kewujudan zombie ini masih lagi menjadi satu tanda tanya  kerana banyak pendapat sering bercanggah kerana ada yang percaya dan mengatakan zombie yang sering dipaparkan di filem wujud di dunia realiti.